Pegawai CAP, Zulkifli (baju putih) memberi ceramah kesedaran penggunaan plastik kepada pegawai JAIPk di Pejabat CAP baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengenai penggunaan bekas plastik bagi membungkus makanan dan minuman di sekolah agama berasrama penuh di Perak perlu diperluaskan di semua institusi pendidikan dan masyarakat umum.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV. Subbarow berkata, larangan itu satu nasihat murni yang berupaya membentuk generasi pelajar yang mementingkan penjagaan alam sekitar.

Katanya, bukan sahaja pelajar di sekolah agama malah sekolah rendah dan menengah kerajaan yang lain perlu menjunjung titah nasihat Sultan Nazrin.

Subbarow.

“Plastik biasanya digunakan dalam botol, beg dan bekas makanan yang mengandungi bahan tambahan kimia seperti pengganggu endokrin, dikaitkan dengan kesan kesihatan negatif termasuk kanser, kecacatan kelahiran dan penindasan sistem imun pada manusia serta hidupan liar.

“Ramai tidak menyedari plastik adalah musuh ‘senyap’ kepada manusia dan boleh ‘membunuh’,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Subbarow, pihaknya baru-baru ini mengadakan program ceramah kesedaran tentang penggunaan plastik sekali guna kepada seramai 40 pegawai dari JAIPk di Pejabat CAP di Jalan Masjid Negeri di sini.

“Pada pertemuan itu, pegawai bersetuju bagi mengadakan lebih banyak program kesedaran tentang penggunaan plastik sekali guna di masjid di negeri Perak.

“CAP berharap dan percaya semua pihak akan mengambil berat mengenai titah Sultan Perak,” katanya.

Mengulas lanjut Subbarow berkata, meskipun dunia sedang mengalami kepesatan pembangunan, namun kelestarian alam sekitar perlu dikekalkan bagi keseimbangan dan kesejahteraan bersama.

“Sehubungan itu, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dan sama-sama berganding bahu meminimumkan penggunaan plastik sekali guna dengan serius bagi menjamin persekitaran lebih mampan dan lestari,” katanya.

Media pada Jumaat lalu melaporkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa sekolah-sekolah agama berasrama penuh di negeri ini diarahkan untuk tidak membenarkan para pelajar menggunakan minuman dan makanan dalam botol dan bungkusan plastik.

Baginda bertitah, dunia kini diancam dengan impak negatif ke atas alam sekitar akibat penggunaan plastik sekali guna yang tidak terkawal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast