Anwar Ibrahim

KUALA SELANGOR – Walaupun nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) jatuh, namun kadar inflasi menurun sehingga 1.5 peratus dan jumlah pelaburan meningkat sehingga 23 peratus kepada RM329.5 billion pada 2023.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar berkata, prestasi kewangan Malaysia itu menunjukkan pencapaian yang luar biasa sejak merdeka.

“Malaysia di ASEAN mencatat di antara kadar inflasi yang paling rendah 1.5 peratus dan kadar pengangguran yang menurun 35 peratus.

“Pelaburan domestik dan asing pula tertinggi dalam sejarah Malaysia sejak merdeka,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu beliau berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022, sekali gus menjadikannya tertinggi dalam sejarah.

Memetik perdana menteri sebagai berkata, dari jumlah tersebut, pelaburan asing merupakan penyumbang utama sebanyak 57.2 peratus berbanding domestik iaitu 42 peratus.

Selain itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga melaporkan kadar inflasi Malaysia kekal rendah pada Januari 2024 sebanyak 1.5 peratus iaitu kadar sama sejak November 2023 dengan mata indeks mencatatkan 131.4 berbanding 129.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, perdana menteri juga melahirkan rasa kesal apabila banyak pencapaian positif pentadbirannya tidak dilaporkan kepada umum.

“Sebagai pemerintah, kita tidak boleh bagi hanya alasan, rakyat nak tahu apa tindakan yang kita lakukan untuk meringan dan meredakan.

“Tapi Alhamdulillah walaupun kadang-kala kita hanya diberitakan yang negatif sahaja, tapi yang positif tidak,” katanya.

Anwar berkata, kejatuhan nilai mata wang negara ketika ini tidak hanya menimpa Malaysia semata-mata.

“Kita hadapi masalah kejatuhan nilai ringgit yang juga menimpa Yen Jepun, Renminbi di China, dan semua mata wang negara ASEAN melainkan Singapura

“Apa langkah yang kita ambil? Kita ada pilihan, orang-orang yang tegur kita soal nilai ringgit, dia minta kita selesaikan.

“Ada cara selesaikan, yang ditentukan oleh pakar-pakar kewangan antarabangsa,” katanya.

Katanya lagi, walaupun cara menaikkan kadar faedah semua pembiayaan boleh menstabilkan nilai ringgit, namun Bank Negara Malaysia perlu mengambil kira jumlah pinjaman bertambah yang terpaksa dipikul peminjam.

“Bila Ringgit Malaysia jatuh, kita naik kadar faedah, tapi kita bincang juga.

“Walaupun ini bidang kuasa Bank Negara, kalau naik kadar faedah, pinjaman kenderaan, pinjaman rumah, peniaga-peniaga kecil yang pinjam daripada bank, semua naik jumlah hutang mereka.

“Kadang-kala untuk saya, apatah lagi Bank Negara dia kena fikir, nak kuatkan dengan naik OPR atau nak imbangi ringgit jangan terlalu jatuh peniaga-peniaga dan peminjam tidak terbeban dengan hutang yang bertambah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette