KUALA LUMPUR – Routes Asia 2024 kembali ke Malaysia selepas sedekad, dihoskan bersama oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Tourism Malaysia di Langkawi, Kedah.

Acara tiga hari itu akan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, mulai 27 Feb ini.

MAHB berkata acara itu akan menjadi platform bagi menyokong pembangunan penerbangan, pelancongan dan ekonomi Malaysia, serta menghimpunkan pihak yang berkepentingan dalam syarikat penerbangan dan lapangan terbang untuk membincangkan peluang pembangunan laluan udara.

“Acara tahunan itu juga memberi peluang untuk meningkatkan profil Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dalam kalangan komuniti pembangunan laluan dan memperkenalkan destinasi itu kepada pihak berkaitan pembangunan penerbangan dan pelancongan,” kata pengendali lapangan terbang itu kepada Bernama.

Diadakan di lokasi yang berbeza setiap tahun, Routes Asia menyediakan platform untuk syarikat penerbangan, lapangan terbang, pihak berkuasa pelancongan dan pihak berkepentingan penerbangan di rantau ini dari seluruh dunia bertemu dan berkumpul untuk membangunkan strategi rangkaian dan memastikan pembangunan perkhidmatan udara masa hadapan di seluruh Asia Pasifik.

Ia dijangka menarik penyertaan terbesar sejak pandemik iaitu seramai 900 delegasi, 170 lapangan terbang dan destinasi, serta 110 syarikat penerbangan yang mewakili lebih 60 negara.

“MAHB akan bertemu kira-kira 40 syarikat penerbangan sedia ada dan baharu sepanjang acara tiga hari itu, dan kami menyasarkan untuk (menarik mereka) beroperasi di rangkaian lapangan terbang kami.”

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Ammar Abdul Ghapar berkata pada tahun ini, Malaysia menyasarkan menarik 27.3 juta ketibaan pelancong yang dijangka menjana pendapatan RM102.7 bilion.

Routes Asia 2024 juga berfungsi sebagai platform terbaik untuk mempromosikan Visit Malaysia 2026, yang menyasarkan ketibaan 35.6 juta pelancong asing, dengan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM147.1 bilion, katanya.

Kementerian Pengangkutan juga menjangkakan industri penerbangan akan menyaksikan pertumbuhan yang lebih kukuh tahun ini, disokong oleh inisiatif berterusan kerajaan untuk meningkatkan sektor itu serta jangkaan perjalanan antarabangsa yang tinggi.

Routes Asia 2024 turut disokong oleh Malaysia Airlines, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).

Tahun lepas, Routes Asia 2023 diadakan di Chiang Mai, Thailand, yang disertai oleh 800 delegasi.

Pada asalnya dikenali sebagai New Route Asia, acara itu adalah cetusan idea MAHB dan pertama kali diadakan pada 2003 di Kuala Lumpur selama tiga tahun berturut-turut.

Sedekad kemudian, MAHB  dengan Lembaga Pelancongan Sarawak menjadi hos bersama Routes Asia 2014 di Kuching. – BERNAMA