Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah ketika di Kompleks Sukan Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 FEBRUARI 2024.

KUALA SELANGOR – Tiada mana-mana negara boleh mengarahkan Malaysia untuk berkawan dengan mana-mana pihak meskipun dasar keterbukaan negara ini mengundang kecaman.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia berhak untuk menentukan dasar luar dan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara.

“Kita berkawan dengan semua, dengan Barat, dengan Timur, dengan Amerika Syarikat, dengan China.

“Tapi jangan mana-mana negara nak arah kita, kamu boleh kawan dengan negara ini, jangan kawan negara itu.

“Negara ini merdeka dan berdaulat dan bebas untuk menentukan dasar dia,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu beliau berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Terdahulu Perdana Menteri mengulas mengenai temubual beliau bersama media asing iaitu Financial Times London yang disiarkan pada hari ini.

Media yang berpangkalan di London itu melontar soalan menggambar seolah-olah hubungan diplomatik Anwar lebih akrab dengan China, berbanding Amerika Syarikat.

“Tadi ada keluar rencana di Financial Times London, dia temubual dengan saya sebab dia kata Anwar sekarang ini nampak mirip sedikit kepada China.

“Saya jawab Malaysia mesti buat keputusan dasar yang mementingkan kepentingan negara dan rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette