Sindiket membuat pengikraran tidak betul dalam borang eksport (Kastam 2) sebagai stok campuran minyak bahan api.

ALOR SETAR –  Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya mematahkan cubaan mengeksport diesel selepas menahan dua buah lori tangki dengan muatan 80,000 liter bahan api itu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Durian Burung di Kuala Nerang pada 17 Februari lalu.

Pengarahnya, Nor Izah Abdul Latiff berkata, sepasukan pegawai Kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Durian Burung telah menahan dua lori tangki bernombor pendaftaran tempatan itu pada jam 9.30 pagi.

“Pemeriksaan terhadap lori pertama kita menemui minyak diesel dengan anggaran 45,000 liter manakala lori kedua anggaran 35,000 liter dengan nilai diesel dianggarkan RM172,000.

Dua lori tangki yang dirampas dianggarkan bernilai RM450,000.

“Kita juga merampas dua lori itu yang dianggarkan bernilai RM450,000.

“Turut ditahan dia lelaki tempatan berusia 37 dan 48 tahun bagi membantu siasatan yang kemudiannya dilepaskan dengan jaminan Kastam,” katanya dalam kenyataan media.

Mengulas lanjut Nor Izah berkata, hasil siasatan lanjut pihaknya mendapati bagi mengaburi pihak kastam mereka membuat pengikraran yang tidak betul dalam borang eksport (Kastam 2) sebagai stok campuran minyak bahan api.

Blend stock fuel oil itu tidak tertakluk kepada lesen eksport dan tiada duti atau cukai. Selain itu, bagi mendapatkan pelepasan terus, mereka telah menambah pewarna hitam ke dalam minyak diesel supaya warna minyak itu menjadi lebih gelap.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast