Afnan Hamimi Taib Azamudden
Afnan Hamimi Taib Azamudden

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengingatkan Ahli Parlimen supaya menunggu pilihan raya akan datang jika hendak “bermain politik”.

Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihaknya turut berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengambil  serius teguran Sultan Ibrahim termasuk berhenti bermain politik  dalam pentadbiran.

“Hentikan tindakan politik terhadap para penjawat awam yang kononnya dianggap tidak sebulu dengan aspirasi Kerajaan Madani. Contohnya tindakan Menteri Pelancongan (Datuk Seri Tiong King Sing) yang memecat seorang pegawai tinggi di bawah Kementerian Pelancongan baru-baru ini.

“Hentikan juga ‘permainan politik’ dengan negeri-negeri di bawah pentadbiran PN. Terdapat arahan secara tidak bertulis supaya pegawai agensi persekutuan di negeri PN untuk tidak terlibat dalam mesyuarat dan acara-acara rasmi Kerajaan Negeri berkenaan.

“Ini adalah tindakan politik yang merugikan semua pihak termasuk Kerajaan Madani sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, pemerintah juga perlu berhenti bermain politik dalam institusi pendidikan.

Kebebasan juga patut diberikan kepada wakil rakyat pembangkang ke sekolah dan pusat pengajian tinggi berbanding hanya kepada pemimpin politik kerajaan.

“Hentikan ‘bermain politik’ dengan ahli Parlimen pembangkang, menyekat peruntukan. Hendak dapat peruntukan, kena sokong PMX (Anwar) terlebih dahulu seperti yang dilakukan oleh beberapa orang sebelum ini. Kedah, Kelantan, Perlis semua beri peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang. Kecuali Terengganu, langsung tak bagi, sebab tiada pembangkang.

“Hentikan ‘bermain politik’ dalam isu kritikal negara umpamanya isu Beras Madani yang dilihat tidak ketahuan dan celaru. Isu nilai matawang yang merudum dan isu kos sara hidup yang kian meningkat.

“Jawablah secara profesional. Tunaikanlah segala janji yang ditabur sebelum ini. Jangan jawab macam atas pentas politik. Kamu itu kerajaan, bukan pembangkang. Jangan berpolitik sepanjang masa,” katanya.

Menurutnya, jika semua isu-isu utama dan kritikal dapat diatasi dan Kerajaan Madani  pimpinan Anwar  menunaikan semua janji tiada masalah untuk  pemeritahan kerajaan PH-BN kekal sehingga PRU-16.

“Jika semua isu-isu utama dan kritikal dapat diatasi jika Kerajaan Madani menunaikan semua janji, jika ahli Parlimen pembangkang dilayan sama rata (seperti manifesto PH) dan diberikan hak yang sepatutnya; jika  empat kerajaan negeri di bawah PN dimudahkan semua permohonan projek pembangunan dan dilayan mengikut prinsip federalisma yang sepatutnya maka tiada masalah untuk kerajaan yang ada ini untuk terus mentadbir sehingga PRU-16.

“Perlu diingat, orang yang mengajar tentang permainan politik yang menggugat kestabilan politik negara dahulu adalah orang yang sama memimpin negara hari ini.

“Langkah Kajang, Projek 16 September, desak  Muhyiddin Yassin letak jawatan dan desak Datuk Seri Ismail Sabri bubar Parlimen, semua orang tahu siapa punya angkara. Dia buat kat orang takpa. Orang buat kat dia tak boleh,” katanya.

Sultan Ibrahim hari ini bertitah mengingatkan ahli Parlimen supaya menunggu pilihan raya akan datang jika hendak “bermain politik”.

Seri Paduka bertitah dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat pagi tadi.

Malah Sultan Ibrahim turut menegaskan tidak akan melayan permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan negara sambil menyeru kerajaan dan pembangkang berkerjasama serta berganding bahu membangunkan negara. – MalaysiaGazette