Tertuduh, Muhammad Syahmi Iman Muhazam, 20, didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah mencabul penumpang wanita perkhidmatan e-hailing yang dibawanya tiga minggu lalu.

MELAKA – Padah mencabul penumpang wanita perkhidmatan e-hailing yang dibawanya awal bulan ini, seorang lelaki didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Syahmi Iman Muhazam, 20, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 22 tahun dengan cara menarik paha sehingga menyentuh payudara dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu dilakukan ketika berada di atas jalan hadapan balai bomba beralamat di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Taman Cheng Perdana, Melaka Tengah pukul 10.21 pagi, 5 Februari lalu.

Sabit kesalah, tertuduh yang masih bujang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal, namun tertuduh yang diwakili peguam Mohd Hasryzal Badasary merayu hukuman ringan.

Hujahnya, anak guamnya kini telah insaf selain ia merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Selepas mendengar hujahan kedua pihak, Majistret Nabilah menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap tertuduh atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast