Peserta himpunan #Reformasi100Peratus berarak menuju ke Bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada pihak kerajaan ketika di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Penganjuran #Reformasi100Peratus gagal mendapatkan jumlah peserta yang memberangsangkan apabila kurang 100 orang yang hadir.

Himpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu bertujuan  menyerahkan memorandum kepada kerajaan.

Menurut pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz, mereka menuntut agar reformasi kerajaan dilakukan 100 peratus, menolak rasuah dan tolak keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) terhadap ahli-ahli politik.

“Kita tidak boleh gelar diri sebagai pejuang kalau kita tidak ada keberanian untuk bertindak.

“Kami mengharapkan ada perubahan ke arah kebaikan,” katanya kepada media.

Peserta himpunan ini hanya dibenarkan berada di penghujung Jalan Parlimen dan tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, Suasana di sekitar Jalan Parlimen tenang tanpa apa-apa provokasi dan dikawal rapi oleh anggota keselamatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dilihat hadir mewakili ahli Parlimen kerajaan untuk menerima memorandum berkenaan.

Dalam ucapan ringka, Hassan berkata, beliau akan meneruskan tuntutan reformasi di Parlimen seperti yang dituntut rakyat.

“Saya tidak ada apa kepentingan, bila mati (meninggal dunia), saya akan tenang kerana reformasi ini akan diteruskan oleh orang lain.

“Kita kena berani menyatakan yang benar, membawa perubahan (walaupun) tidak mudah, terutama ujiannya apabila ksudah berkusa,” katanya.

Individu pertama hadir adalah Ahli Parlimen Selayang, William Leong yang turut menerima memorandum satu muka surat oleh Bersih.

Turut hadir Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufik Johari; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Muar (bebas), Syed Sadddiq Syed Abdul Rahman dan satu-satunya wakil pembangkang, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Taufik menggesa kepada himpunan untuk memberikan masa kepada kerajaan bagi melaksanakan agenda reformasi.

“Saya ingin mengingatkan untuk melakukan reformasi kita memerlukan masa kerana terdapat banyak perkara yang perlu diberi perhatian.

“Saya yakin kerajaan semasa sedang menuju ke arah reformasi. Saya sebagai ahli Parlimen, saya boleh memberi jaminan reformasi akan terus berlanjutan seperti perjuangan kita sebelum ini,” katanya setelah menerima memorandum tersebut.

Syed Sadddiq yang turut hadir berkata, beliau akan menyokong sekiranya tuntutan oleh himpunan agar reformasi dilaksanakan 100 peratus.

“Jika semua reformasi ini dilakukan oleh kerajaan, saya akan memberikan sokongan saya. Komitmen saya adalah untuk menyokong. Ini bukan untuk parti atau individu tetapi untuk rakyat. Terima kasih kepada Bersih,” kata bekas Presiden MUDA.

Antara kandungan memorandum tersebut adalah menuntut pelaksanaan agenda reformasi 100 peratus khususnya dalan sistem pilihan raya dan institusi utama, tolak DNAA terhadap mana-mana ahli politik yang sedang dibicarakan dengan kes rasuah dan salah guna kuasa dan menolak undang-undang dua darjat.

Himpunan bersurai jam 10 pagi setelah diarahkan oleh pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast