Peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika berhubung pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah tinggi Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 14 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Setelah menunggu sehingga jam 12 tengah hari, prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak yang sepatutnya bermula 9 pagi tadi, Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan bicara untuk hari ini.

Ini kerana peguam  Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan Najib, tidak sihat dan difahamkan akan berjumpa dengan doktor hari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam Tania Scivetti kepada Hakim bicara, Datuk Collin Lawrence Sequerah sebentar tadi.

Kata Tania, Shafee memaklumkan beliau rasa tidak sedap badan dan bimbang dengan degupan jantungnya yang memerlukan beliau berjumpa dengan doktor hari ini.

“Kita mohon untuk tangguhkan bicara hari ini, semoga esok Tan Sri akan sihat dan boleh sambung prosiding,” katanya.

Pasukan pendakwaan diwakili Ahmad Akram Gharib kemudian mencadangkan tarikh gantian untuk penangguhan perbicaraan hari ini.

Antara tarikh-tarikh itu termasuklah 14 dan 15 Mac kemudian sambung pada 1 hingga 5 April ini.

Collin bersetuju dengan tarikh-tarikh sebelum melapangkan prosiding hari ini.

Prosiding akan bersambung esok sekitar jam 9 pagi.

Sepatutnya hari ini saksi ke-49, Nur Aida Ariffin yang merupakan Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sambung memberi keterangan dalam sesi soal balas bersama Muhammad Shafee.

Terdahulu kelihatan Najib sudah berada dalam mahkamah sekitar jam 9.15 pagi dengan diiringi pegawai Penjara Kajang.

Turut kelihatan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang setia menemani beliau sepanjang prosiding berlangsung.

Najib sedang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama. – MalaysiaGazette