Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ABDULLAH YUSOF.

IPOH – Dua lelaki warga tempatan yang menyamar sebagai Pegawai Imigresen dan dipercayai terlibat dalam kes samun di sekitar bandar raya Ipoh direman selama tiga hari mulai hari ini hingga 1 Mac bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, terdahulu dua suspek masing-masing berusia 25 dan 26 tahun ditahan sekitar  4.30 pagi semalam.

Menurutnya, mereka ditahan di dua lokasi berasingan oleh sepasukan anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Sebelum ini, kita menerima lima laporan polis mengenai kejadian samun melibatkan dua lelaki yang menyamar sebagai Pegawai Imigresen sejak 23 hingga 26 Februari lalu dengan melibatkan kerugian wang tunai dan harta benda sebanyak RM6,000.

“Lanjutan daripada tindakan pantas pihak polis mengadakan operasi khas yang dijalankan, dua lelaki terbabit berjaya ditahan pada 27 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, polis turut merampas beberapa barang kes termasuklah kenderaan yang digunakan oleh suspek.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek berumur 25 tahun mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dan empat rekod melibatkan kesalahan dadah manakala suspek berusia 26 tahun mempunyai dua rekod kesalahan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan. – MalaysiaGazette