Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis telah mengklasifikasikan insiden seorang kanak-kanak lelaki autisme yang ditemukan lemas dalam sebuah tasik atau kolam tadahan banjir di Taman Aman, Sea Park dekat sini semalam sebagai kes mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismail berkata, hasil keputusan bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak berusia lima tahun itu menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah atau kecederaan dikesan pada anggota badan mangsa.

Sebaliknya polis telah memulakan siasatan kes tersebut dalam aspek kecuaian membabitkan penjaga.

“Proses bedah siasat telah selesai dilaksanakan pagi tadi di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh dan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dan kesan penderaan lain pada anggota badan mangsa.

“Malah doktor mengklasifikasikan punca kematian mangsa (cause of death) adalah disebabkan mati lemas (drowning), sehubungan itu kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut memandangkan tiada unsur-unsur jenayah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun,  pihaknya akan meneruskan siasatan kes ini di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas pengabaian dan kecuaian oleh penjaga.

Beliau mahu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya untuk membantu siasatan.

Tambah beliau, terdahulu sekitar 6.30 petang pada Selasa lalu, polis menerima aduan daripada seorang lelaki tentang insiden kehilangan kanak-kanak autisme dan ditemui lemas pada jam lebih kurang 3.30 petang.

Katanya, pengadu mendakwa anak lelakinya telah didapati hilang semasa bermain dengan kembarnya di sebuah taman tasik rekreasi di dalam kawasan Sea Park setelah tertidur semasa sedang memerhatikan anak-anaknya yang sedang bermain di sekitar kawasan taman tersebut.

“Pengadu yang mula bimbang telah cuba mencari anaknya yang hilang di sekitar kawasan tersebut namun masih gagal menjumpainya.

“Bagaimanapun, sekitar 6.50 petang hari sama kejadian pengadu telah menerima panggilan dari orang awam yang sedang memancing ikan di tasik tersebu telah menjumpai anaknya dalam keadaan terapung di atas permukaan tasik tersebut dalam jarak anggaran empat meter daripada tebing.

“Sepasukan polis telah membuat siasatan lanjut di tempat kejadian namun tidak menjumpai sebarang unsur-unsur jenayah sebelum pihak ambulan dari Hospital Sungai Buloh turut bergegas ke lokasi dan membuat pemeriksaan dan rawatan kecemasan terhadap mangsa.

“Malangnya, pegawai perubatan bertugas telah mengesahkan kematian mangsa di lokasi selepas bantuan pernafasan diberikan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda mangsa hidup sebelum mengesahkan punca kematian disyaki akibat lemas,” katanya.-MalaysiaGazette