KUALA LUMPUR – Pembangkang mencerminkan sikap sebenar semalam apabila bertindak keluar ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong (YDP) ke-16, Sultan Ibrahim, semalam.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi berkata, tindakan meninggalkan Dewan Rakyat adalah amat biadap.
“Pembangkang macam tidak boleh dinasihati. Titah perasmian YDP Agong Tuanku Sultan Ibrahim cukup jelas. Tidak masuk akal penggubal undang-undang tidak ikut peraturan
“Ucapan menjunjung kasih pun jadi kecoh. Apakah kerajaan langgar peraturan? Kerajaan bawa usul guna peraturan 14(2). Ia diundi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat membantah keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membenarkan Anwar mengucapkan tahniah kepada Sultan Ibrahim dan terima kasih kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tindakan Anwar memberikan penerangan tersebut di tengah-tengah sesi Perbahasan Titah Diraja adalah menyalahgunakan ‘sokongan majoriti’ yang dimiliki kerajaan.
Dalam pada itu, Puad menyifatkan pembangkang masih di takuk lama apabila mengamalkan budaya menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat.
“Masalahnya pembangkang masih dengan budaya lapuk. Terjerit- jerit, kata kata kesat, mencelah tidak ikut peraturan dianggap hero dan berprestasi tinggi.
“Elok Speaker semak balik peraturan mesyuarat 44(2). Apakah ahli yang digantung boleh ditarik balik segala kemudahan mereka dalam tempoh penggantungan itu,” katanya. – MalaysiaGazette