Saturday, April 13, 2024
Home Ekonomi Pemilikan bumiputera di Bursa Malaysia belum memuaskan

Pemilikan bumiputera di Bursa Malaysia belum memuaskan

Bursa Malaysia
Logo Bursa Malaysia
PUTRAJAYA – Kaum bumiputera masih belum mencapai tahap pemilikan yang memuaskan dalam kalangan syarikat korporat yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, senario itu mungkin berpunca daripada akses kepada pembiayaan dan pendanaan yang terbatas bagi memula atau memperluaskan perniagaan.
Beliau menjelaskan, inisiatif-inisiatif melalui dasar afirmatif sedia ada perlu diperkemaskan agar tahap penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dapat dipertingkatkan.
“Dengan Transformasi Ekonomi Bumiputera kita akan terus memastikan peranan agensi-agensi amanah bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Tabung Haji serta lain-lain akan lebih terkehadapan dalam pengupayaan Bumiputera bagi semua sektor perekonomian.
“Dengan memberikan fokus serta memperkemaskan inisiatif sedia ada, Transformasi Ekonomi Bumiputera diyakini mampu mengatasi cabaran-cabaran sosioekonomi yang dihadapi dan membuka pintu ke jalan kemajuan yang lebih luas bagi setiap lapisan masyarakat,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama ketika merasmikan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertujuan memperluas agihan ekonomi dan  mengembangkan lagi ekonomi Bumiputera selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani.

Ahmad Zahid yang Menteri Kemajuan Wilayah dan Bandar turut mengusulkan Mara perlu diperkasakan dengan tanggungjawab penyelarasan, pemantauan dan penilaian di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera.
Ia bagi memastikan semua usaha pengupayaan bumiputera baik di peringkat kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dilaksanakan dengan berkesan.
“Unit Pemerkasaan Bumiputera di kementerian, agensi, GLC dan GLIC perlu diaktifkan semula agar penyelarasan, pemantauan dan penilaian dapat dijalankan dengan berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette