Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Sabtu ini dilihat tidak akan memberikan kesan retrospektif terhadap kes-kes menarik sokongan yang berlaku sebelum ini, kata Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

“Sepatutnya tidak ada kesan retrospektif, itu tidak boleh ada. Kalau ada, ia tidak adil dari segi undang-undang.

“Apa yang saya difahamkan tidak ada (kesan retrospektif),” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, Mas Ermieyati berkata, apa pun keputusannya nanti perlu ada kelulusan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Mas Ermieyati berkata demikian mengulas pertanyaan media sama ada pindaan Perlembangaan Bersatu yang akan dibuat Sabtu ini akan memberikan kesan restospektif kepada ahli-ahlina terhadap kes-kes sebelum pindaan dilakukan.

Sebelum ini, Muhammad Fathi yang juga Prof Madya Undang-Undang, Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata, Bersatu berhak memberi kebebasan atau menetapkan sekatan kepada ahli Parlimen mereka.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga menyatakan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu meluluskan draf pindaan perlembagaan berkaitan pengosongan kerusi Parlimen bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan sekiranya ahli memberi sokongan kepada pihak lawan.

Pada 29 Januari lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Bersatu memutuskan meminda Perkara 10 dalam perlembagaan parti bagi menghalang insiden sama berulang, selain sedia berdepan PRK jika berlaku pengosongan kerusi wakil rakyatnya yang diambil tindakan.

Pindaan tersebut akan mengakibatkan ahli Parlimen Bersatu yang didapati khianat boleh kehilangan kerusi.

Ia susulan keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 28 Januari bagi menghalang tindakan khianat dalam kalangan wakil rakyatnya daripada berulang pada masa depan.

Mengikut surat pemakluman itu, Perhimpunan Agung Khas itu akan diadakan selama dua jam bermula jam 3 petang di Pusat Konvensyen Ideal IDCC, Shah Alam pada Sabtu depan.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – MalaysiaGazette