PUTRAJAYA – Kementerian Ekonomi menyasarkan dapat menyiapkan satu set dasar berkaitan pemerkasaan bumiputera yang khusus menjelang Jun depan.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, dasar itu diharap dapat menghasilkan kumpulan kelas Bumiputera yang positif, progresif dan inovatif sejajar dengan tema Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.
Menurutnya, ia akan melibatkan proses libat urus yang diadakan sebelum ini dengan wakil bukan kerajaan di mana input yang diperoleh akan digabungkan juga dengan pandangan daripada pihak kerajaan.
“Kerajaan akan mengambil masa dalam dua, tiga bulan akan datang bagi prosiding, perancangan dan pemantauan di peringkat majlis Kongres Ekonomi Bumiputera dan ia akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
“Kita ada garis masa menjelang Mei atau Jun, kita sudah ada satu set dasar-dasar bumiputera yang khusus,” katanya.
Beliau ditemui media selepas majlis perasmian Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Ia dianjurkan bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara).
KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertujuan memperluas agihan ekonomi dan mengembangkan lagi ekonomi bumiputera selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani.
Mengulas lanjut, Rafizi menambah, kerajaan berhasrat menyatukan syarikat bumiputera dan bukan bumiputera untuk bersama-sama bersaing di peringkat global.
“Kerajaan mahu memastikan satu ekosistem ke arah mewujudkan perkongsian pintar, yang dibentuk, supaya kelompok bumiputera yang benar-benar mahir serta bukan bumiputera yang mahir, dapat bekerjasama untuk menjadi syarikat Malaysia sebenarnya, boleh bertahan dan bersaing sekurang-kurangnya di peringkat serantau, namun diharapkan di peringkat antarabangsa.
“Mereka yang hanya melihat dari perspektif kaum masing-masing sudah tentu akan rasa tak cukup, tapi kita bukan lagi bersaing dalam kalangan kita sahaja sekarang, jadi kita perlu besarkan ‘kek’ ekonomi itu, supaya dengan ‘kek’ yang lebih besar ia memberi kita lebih kekuatan untuk bersaing dalam persekitaran yang amat mencabar. Kita perlu dapatkan perkongsian yang tulen dan pintar itu,” katanya. – MalaysiGazette