Fadillah Yusof

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,000 peluang pekerjaan dalam bidang tenaga bakal ditawar dan dimanfaatkan oleh golongan bumiputera.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagi tujuan itu, kerajaan sedang menggubal Rang Undang-Undang Kecekapan Dan Konservasi Tenaga bagi mengawal selia sektor-sektor industri dan komersial.

“Dijangkakan sebanyak 1,000 peluang pekerjaan baharu sebagai Pengurus Tenaga Berdaftar dan Juruaudit Tenaga Berdaftar akan diwujudkan.

“Selain itu, penguatkuasaan akta ini juga akan menggalakkan pendaftaran lebih banyak institusi latihan bagi melatih Pengurus Tenaga Berdaftar dan Juruaudit Tenaga Berdaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pembukaan Diskusi Madani, Mencipta Peluang Bumiputera dalam Peralihan Tenaga di sempena Kongres Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air itu turut memaklumkan, sektor Tenaga Boleh Baharu (TBB) memainkan peranan penting dalam usaha peralihan tenaga selain menjadi sumber tarikan pelaburan dan ekonomi baharu negara.

Katanya, perkara itu adalah selaras dengan aspirasi negara mencapai sifar pembebasan gas rumah kaca (GHG) menjelang 2050.

“Kerajaan telah menetapkan komitmen untuk meningkatkan campuran kapasiti Tenaga Boleh Baharu dalam pembekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang tahun 2050 berbanding 25 peratus pada masa ini.

“Usaha ini memerlukan gandingan kerjasama dan keterlibatan pihak kerajaan, swasta dan rakyat bagi memastikan kejayaan kesemua inisiatif dan program TBB mencapai sasaran tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, kesemua inisiatif berkenaan juga bakal membuka lebih banyak peluang perniagaan dan ekonomi baharu khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera.

Jelasnya, usaha itu merupakan pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program TBB sekaligus menggalakkan lebih banyak penyertaan usahawan Bumiputera dalam agenda peralihan tenaga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast