Saifuddin Nasution Ismail.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan dasar pemulangan levi yang lebih mesra majikan dan industri berkuatkuasa mulai hari ini.

Ia sebagai langkah meneruskan kesinambungan iltizam kerajaan untuk menambahbaik pengurusan ekosistem pengurusan pekerja asing dalam negara ini, kata Menteri Dalam Negeri.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi memastikan proses pulangan levi kepada majikan berjalan lancar, kerajaan  telah membuat penambahbaikan yang signifikan kepada dasar dan proses pemulangan levi yang lebih mesra kepada majikan dan industri.

“Antara langkah diambil adalah mengurangkan tempoh masa pemprosesan pulangan balik levi sebanyak 47 peratus iaitu daripada 53 hari kepada 28 hari bagi permohonan di peringkat kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia.

“Manakala sebanyak 51 peratus adalah dari 77 hari dikurangkan kepada 38 hari bagi permohonan di peringkat kelulusan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

“Selain itu, membenarkan majikan membuat tuntutan pulangan balik bayaran levi pekerja asing selepas tempoh enam bulan sah laku Surat Kelulusan Bersyarat dengan keseluruhan baki kuota pekerja asing diserahkan semula kepada kerajaan,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Tambah Saifuddin Nasution, penambahbaikan berkenaan juga berjaya memendekkan proses diambil dan bakal memanfaatkan semua majikan yang memerlukan pulangan levi tersebut segera.

Justeru katanya, ia seterusnya akan memberikan kesan gandaan (multiplier effect) yang positif kepada ekonomi negara.

Dalam satu lagi perkembangan lain berkaitan pekerja asing, beliau juga memaklumkan dalam merencana pengurusan pekerja asing negara, kerajaan berpandukan kepada empat komponen utama yang berfokus kepada merendahkan kos migrasi pekerja asing, mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing, memastikan kebajikan pekerja dan kepentingan majikan terpelihara.

Sehubungan itu, katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri Dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-10 pada 16 Januari lalu kedua-dua kementerian bersama Agensi Kawal Selia (AKS) yang berkaitan telah menilai semula keperluan sebenar industri yang dibaca bersama unjuran keperluan tenaga kerja negara dan senario semasa seterusnya membuat pertimbangan keperluan kuota penggajian pekerja asing.

“Hasilnya keputusan telah diperakui pada 15 Februari lalu oleh Jemaah Menteri iaitu baki kuota penggajian pekerja asing sektor formal yang masih aktif dan telah dibayar levi tetapi masih belum diterbitkan Visa Dengan Rujukan (VDR) pada 31 Mac 2024 akan dibatalkan dengan bayaran levi kuota dikembalikan kepada majikan.

“Manakala tarikh akhir kemasukan pekerja asing sektor formal yang baharu dengan VDR adalah pada 31 Mei ini dan tiada lagi kemasukan pekerja asing sektor formal dari kuota yang aktif dibenarkan bermula 1 Jun 2024.

“Oleh demikian, saya menggesa semua majikan yang terkait untuk mempercepat kemasukan pekerja asing dalam masa yang sama memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat dan undang-undang perburuhan yang telah Kerajaan tetapkan,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast