Ketua Pegawai Eksekutif Hasil, Datuk Dr. Abu Tariq berucap pada Majlis Sambutan Hari Hasil ke-28 Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Dewan Bangsawan, Menara Hasil, Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 MAC 2024.

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)  tidak alpa dan sebaliknya terus merangka strategi bagi memastikan sasaran kutipan cukai negara iaitu sebanyak RM197 billion dicapai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, tumpuan akan diberikan kepada isu ketirisan cukai melibatkan individu yang mempunyai aset dan kekayaan yang tidak setimpal dengan pelaporan cukai.

Pada masa sama, katanya, tumpuan juga membabitkan pendapatan dari Malaysia yang disimpan di dalam akaun luar negara yang belum dilaporkan.

“ia juga melibatkan transaksi rentas sempadan, harga pindahan domestik, aktiviti atas talian dan kes-kes ekonomi bayangan.

“Perlaksanaan E-Invois juga adalah inisiatif utama 2024,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-28 LHDN yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Pada majlis sama, LHDN turut melancarkan lima produk perkhidmatan digital baharu iaitu e-CKM (Cukai Keuntungan Modal); HASiL Tax HTB 2023; Profiling Information Systems (PINS); e-Sekatan Perjalanan dan v. Behavioural Insights Tools: Compliance Empowerment.

Mengulas lanjut, Abu Tariq menambah, pencapaian kutipan cukai bagi tahun 2023 pula iaitu sebanyak RM183.34 bilion adalah kutipan tertinggi dalam sejarah kutipan cukai langsung negara.

Katanya, nisbah kutipan tersebut terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar ialah sebanyak 9.91 peratus yang juga lebih tinggi daripada kadar nisbah cukai langsung KDNK
bagi negara-negara di Asia Pasifik yang dalam lingkungan 8 peratus. – MalaysiaGazette