MELAKA – Padah mabuk sambil menunggang motosikal selepas meraikan hari jadi rakan, seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Toong Chen Qen, 63, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang menunggang motosikal didapati mempunyai kadar alkohol sebanyak 191 miligram (mg) per 100 mililiter (ml) darah melebihi tahap dibenarkan 50 mg per 100 ml darah.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Tamby Abdullah dalam daerah Melaka Tengah, di sini, kira-kira pada pukul 2.30 pagi 2 September tahun lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000 hingga RM30,000 memgikut Seksyen 45(A)(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan) 2020.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana menjaga tiga anak termasuk ibu yang sudah uzur selain bukannya pemabuk tegar.
Jelasnya, ketika kejadian dia sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mabuk ketika meraikan hari jadi rakannya.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Naim Abd Jalil bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Selepas mendengar hujahan kedua pihak, mahkamah mengarahkan tertuduh dipenjara satu hari dan denda RM10,000 atau tambahan empat bulan penjara jika gagal bayar denda selain lesennya digantung selama dua tahun. – MalaysiaGazette.