GEORGE TOWN – Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) mengumumkan kadar harga baharu untuk perkhidmatan tiket funikular Bukit Bendera berkuat kuasa 1 Mei depan.
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam satu kenyataan berkata, semakan harga tiket terakhir dibuat pada tahun 2019 namun bagi memastikan funikular boleh dinaiki oleh pemegang MyKad, MyKid dan penduduk tempatan, pihaknya memastikan harga tiket kekal berpatutan.
Kata PBBPP, walaupun berlaku perubahan, harga tiket funikular Bukit Bendera kekal sebagai salah satu yang paling berpatutan di seluruh dunia.
“Kenaikan harga itu untuk pemegang MyKad, MyKid serta pemegang kad yang sah iaitu Malaysia My Second Home (MM2H), permit kerja, pasangan warganegara Malaysia dan lain-lain berharga RM16 untuk dewasa berbanding RM12 pada masa sekarang.
“Harga baharu tiket bagi kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun dan warga emas 60 tahun ke atas ialah RM8 berbanding RM6 manakala sehala pula RM4 manakala orang kurang upaya kekal percuma.
“Bagi tiket ‘Sunrise’ baharu untuk pemegang MyKad dan MyKid yang boleh didapati pada musim luar puncak berharga RM5 berbanding RM3 ketika ini,” menurut kenyataan itu.
Menurut PBBPP, peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan selain disebabkan inflasi dan kelemahan kadar pertukaran mata wang merupakan faktor kenaikan harga tiket berkenaan.
“Keadaan yang tidak dapat dielakkan ini menyebabkan PBBPP perlu menyemak semula harga tiket dari semasa ke semasa.
“PBBPP sentiasa melabur dalam menaik taraf prasarana dan kemudahan di Bukit Bendera untuk meningkatkan pengalaman pengunjung serta tidak berkompromi berhubung aspek keselamatan dalam pengurusan dan operasi sistem funikular serta prasarana Bukit Bendera untuk keselesaan dan keselamatan pengunjung,” katanya. – MalaysiaGazette