KUANTAN – Seorang lagi peserta RXZ Fighter Gathering Kuantan 2024 hari ini maut selepas terlibat dalam kemalangan di KM159.6 Lebuh raya Pantai Timur (LPT 1), kurang 24 jam daripada kejadian pertama yang berlaku kurang 10 kilometer daripada lokasi nahas semalam.

Ketua Polis Maran, Deputi Superintendan Mohd Zamri Mohd Zaber berkata, mangsa Mohammad Sharfie Sukri, 21, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Katanya, mangsa berasal dari Sabah bekerja sebagai pembantu jualan dipercayai dalam perjalanan menuju ke acara permotoran berkenaan di Kuantan dengan menunggang motosikal Y15 bergesel dengan lori jenis Scania.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang dalam perjalanan dari Petaling Jaya, Selangor menghala ke Kuantan.

“Semasa berada di lorong kiri telah bergesel dengan lori di laluan yang sama,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Zamri, akibat daripada peanggaran itu mangsa tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 8.20 pagi.

Tambah beliau, hasil temubual dengan rakan-rakan mangsa di tempat kejadian mendapati semasa kejadian mangsa konvoi bersama 10 buah motosikal lain.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Semalam, seorang peniaga pasar malam yang berasal dari Kuala Kangsar Perak maut dalam kemalangan di KM166.1 LPT1 berhampiran Maran ketika dalam perjalanan ke Kuantan pada jam 10.55 pagi.

Mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan ketika menyertai konvoi 14 penunggang motosikal merupakan peserta RXZ Fighter Gathering Kuantan 2024

Manakala dalam kejadian berasingan, dua lelaki yang merancang ke program tersebut cedera parah dalam kemalangan di Perasing, Terengganu pada kejadian tengah hari semalam.- MalaysiaGazette