Foto: Fb Polis Sabah
TENOM – Polis menangkap seorang lelaki serta merampas 102.7 Kilogram daun ketum dalam Ops Bersepadu Sekatan Jalanraya di jalan Tenom-keningau, semalam.
Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superitenden Polis (DSP) Hasan Majid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.00 pagi itu, pihaknya telah menahan kenderaan yang dinaiki seorang lelaki berusia 41 tahun.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan tersebut telah menjumpai guni berisi daun yang disyaki daun ketum,” katanya menerusi kenyattan.
Menurut Hasan, turut dijumpai bersama individu tersebut sejumlah dadah jenis syabu serta peralatan yang disyaki digunakan sebagai alat untuk menghisap dadah.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette