Tuminah Kadi

MELAKA – Semua peniaga khususnya bazar Ramadan di negeri ini diberi amaran untuk tidak menjadikan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berkuatkuasa semalam sebagai alasan menjual barangan pada harga melampau.

Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi berkata, kenaikan SST kepada lapan peratus berbanding enam peratus sebelum ini tidak sewajarnya diambil kesempatan oleh peniaga.

“Saya bagi amaran kepada peniaga bazar Ramadan, jangan ambil kesempatan dengan isu SST ini kerana dalam keadaan sekarang memang semua terkesan dengan kenaikan ini.

“Tapi pada masa sama, kerajaan sudah memberikan pelbagai bentuk subsidi di semua peringkat masyarakat jadi janganlah ambil kesempatan lagi,” katanya.

Tuminah (tengah) meninjau reruai pameran.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Empowering Women melibatkan acara sukan jet ski sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di Pantai Puteri, Tanjung Kling di  sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tuminah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus mempertingkatkan pemantauan bagi mengekang tindakan peniaga tamak.

“Sebenarnya, pemantauan telah dilaksanakan sejak bulan lalu dan akan dipergiatkan lagi menjelang Ramadan ini yang mana penguatkuasa KPDN akan berpakaian biasa di bazar Ramadan tertentu.

“Ini termasuklah di pasar raya, kedai runcit dan restoran dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku kenaikan melampau,” katanya.

Pada Pembentangan Bajet 2024 pada Oktober lalu, kerajaan mengumumkan peningkatan SST dua peratus berkuat kuasa semalam yang dilihat akan membantu kerajaan untuk terus menjana pendapatan untuk negara.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara dan mengurangkan defisit belanjawannya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast