Heliza Helmi dan suami.

KUALA LUMPUR- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan siasatan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membabitkan syarikat pelaburan milik usahawan, Mahadi Badrul Zaman, 40, yang disahkan tidak mempunyai lesen sah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya selari dengan suruhanjaya terbabit syarikat berkenaan tiada mempunyai lesen untuk menjalankan aktiviti pelaburan tersebut.

“Berdasarkan kenyataan dikeluarkan SC bahawa syarikat itu beroperasi tanpa lesen dan kita berpegang kepada perkara yang sama. Sudah tentu SC lebih mengetahui kerana ia di bawah bidang kuasa mereka.

“Bagaimanapun, bagi pihak PDRM, setakat ini belum ada laporan yang diterima mengenainya,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Mahadi merupakan suami kepada selebriti, Heliza Helmi.

Ramli menambah polis bersama-sama SC menentukan bahawa syarikat pelaburan yang diusahakan oleh usahawan terbabit setakat ini tidak berlesen untuk menjalankan kegiatan sedemikian (pelaburan).

Sebelum ini, media melaporkan syarikat milik Mahadi tidak mempunyai lesen atau berdaftar dengan SC untuk menjalankan sebarang aktiviti terkawal.

Suruhanjaya Sekuriti dalam kenyataan terbaharu memaklumkan bahawa, syarikat AUF MBZ Consortium PLT didapati menjalankan urusan perniagaan dalam aktiviti terkawal dengan mempromosi saham syarikat awam tidak tersenarai (unlisted public company atau UPC) tanpa memegang lesen daripada SC.

Rentetan itu, katanya, nama dan syarikat berkenaan dimasukkan dalam senarai peringatan pelabur untuk mengenal pasti sama ada individu dan entiti berlesen atau berdaftar untuk menawarkan, mempromosikan atau menjual produk dan perkhidmatan pasaran modal di Malaysia.

Mengulas lebih lanjut, Ramli berkata, pihaknya mengesan segelintir syarikat pelaburan melakukan penipuan dengan menjanjikan pulangan tinggi sebelum menghentikan operasi menyebabkan pelabur menanggung kerugian.

“Ada syarikat yang hanya ditubuhkan untuk menerima pelaburan dan berhenti setengah jalan.mMereka akan kata minta maaflah kami sedang disiasat oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan PDRM selain kononnya baru dikenakan tindakan bankrap.

“Jadi habis yang melabur puluhan ribu, ratus ribu, jutaan ringgit dan sebagainya..Ia boleh dinoktahkan begitu saja. Sebab itu kita perlu ada jaminan dan pengetahuan mengenai pelaburan,” katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya melakukan semakan terlebih dahulu mengenai syarikat pelaburan berkenaan sebelum membuat sesuatu pelaburan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast