Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki  kerugian RM427,940 apabila terpedaya dengan tawaran komisen RM6 juta jika sanggup membantu seorang lelaki yang baru dikenalinya dalam urusan pengeluaran wang di luar negara.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pengadu mendakwa ditipu seorang individu  dalam urusan untuk mengeluarkan wang berjumlah RM25 juta daripada akaun bank suspek berkenaan.

Menurut mangsa, pada November 2021, rakan pengadu telah memperkenalkan suspek kepadanya yang mana suspek juga seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun yang mempunyai wang sejumlah RM25 juta untuk dimasukkan ke akaun bank miliknya dari luar negara.

“Suspek memohon mangsa untuk memberikan wang bagi membayar kos kos seperti cukai kerajaan untuk kemasukan wang dari luar negara itu dan turut menjanjikan bayaran balik wang bersama komisen berjumlah RM6 juta jika pengadu membantunya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mangsa bertambah yakin apabila suspek turut menunjukkan beberapa dokumen untuk meyakinkan yang wang RM25 juta itu benar-benar wujud.

“Disebabkan yakin dan percaya dengan janji-janji suspek bermula Disember 2021 hingga Jun 2023, pengadu telah menyerahkan wang kepada suspek secara tunai dan turut dimasukkan ke dalam empat akaun bank berbeza sebanyak 98 kali transaksi yang keseluruhannya berjumlah RM427,940.

“Pada Julai 2023, suspek masih meminta pengadu membuat bayaran membuatkan pengadu mula merasa curiga dan menuntut kembali wangnya namun suspek bertindak menghilangkan diri dan gagal dikesan.

“Pengadu rasa telah ditipu oleh suspek dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Seri Alam semalam,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan pihaknya turut menjalankan siasatan lanjut yang meliputi pembabitan keldai akaun.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast