Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan mewujudkan bilik perang di keenam-enam kawasan yang disandang Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai persediaan sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau telah mencadangkan perkara itu untuk dilaksanakan di pejabat BN di kawasan masing-masing.

“Ada tau tak, anggap sahaja ada (pilihan raya).

“Presiden UMNO yang juga pengerusi BN juga telah buat kenyataan semalam bahawa kawasan itu adalah kawasan BN dan kita akan bertanding di keenam-enam Parlimen berkenaan jika diadakan pilihan raya kecil,” katanya kepada media selepas Majlis sambutan Ulang Tahun ke- 20 Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) di sini, hari ini.

Ahmad berkata demikian ketika ditanya media mengenai persediaan UMNO dan BN untuk berdepan PRK sekiranya ia benar-benar berlaku.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu akan meletakkan calon di enam kawasan Parlimen yang ketika ini disandang Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, sekiranya berlaku PRK.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, kawasan Parlimen Kuala Kangsar, Gua Musang, Labuan, Jeli, Bukit Gantang dan Tanjung Karang itu adalah kerusi tradisi parti diketuainya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pihaknya akan melihat kepada keputusan mahkamah terlebih dahulu berhubung pindaan Perlembagaan Bersatu berkaitan pengosongan enam kerusi Parlimen berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, UMNO dan BN tidak bimbang untuk berdepan dengan pilihan raya itu kerana telah melaluinya banyak kali.

Katanya, beliau tahu mengenai proses yang akan berlaku sekiranya Bersatu menghantar surat kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung keenam-enam ahli Parlimennya itu.

“Saya tidak nampak ia ada halangan…dulu saya Setiausaha Agung UMNO pernah berurusan dengan RoS, perlu mengikut segala prosedur dan akan lulus pindaan PPBM (Bersatu).

“Selepas itu, saya kira apa yang akan dilakukan oleh PPBM adalah menghantar surat tunjuk sebab terhadap Ahli Parlimen Bukit Gantang, Labuan, Jeli, Gua Musang, Tanjung Karang dan Kuala Kangsar,” katanya.

Ahmad percaya, tindakan Bersatu itu tidak menjejaskan sokongan keenam-enam ahli Parlimen Bersatu untuk terus menyokong perdana menteri.

Jika ia berlaku sebaliknya bermakna keenam-enam mereka itu tidak mempunyai prinsip, ujarnya. – MalaysiaGazette