Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan pendakwaan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas mendengar hujah oleh Peguam Negara diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mustaffa P. Kunyalam.

Beliau juga menetapkan pengurusan kes hina mahkamah itu pada 23 April ini.

Dalam pada itu, ketika MalaysiaGazette bertemu Isham Jalil di lobi mahkamah, beliau yang kelihatan tenang menyerahkan perkara tersebut kepada peguamnya, Tan Sri Azizan Harun bagi menerangkan status kes itu.

Kata Azizan, walaupun hari ini telah dijadualkan bagi pihak pendakwaan membuat permohonan ‘ex parte’ (sebelah pihak) namun pada masa sama mahkamah telah membenarkan permohonan Isham Jalil didengari sekali.

“Hari ini perbicaraan ex parte oleh Peguam Negara bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding pengkomitalan terhadap anak guam (Isham) agar dikenakan tindakan sama ada dipenjara atau didenda kerana didakwa menghina mahkamah.

“Kita minta budi bicara mahkamah untuk mendengar permohonan kami juga, pihak Peguam Negara juga tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan kami. Oleh itu, Yang Arif telah benarkan permohonan kami. Memandangkan pendengaran hari ini dibuat kedua-dua pihak, maka ianya tidak menyentuh merit.

“Peguam Negara perlu buktikan adanya kes untuk dijawab seperti kes prima facie. Hujah-hujah peguam negara ada kes untuk dijawab manakala saya hanya membangkitkan dua persoalan undang-undang yang tidak sentuh merit,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, menurut pendakwaan, Mustaffa ketika ditemui media pihaknya telah  diberikan masa lapan hari untuk menyerahkan kertas kausa berkaitan prosiding tersebut kepada responden bagi memberi peluang untuk memfailkan afidavit jawapan.

Untuk makluman pada penghujung Disember 2023, Peguam Negara telah memfailkan permohonan secara ex parte memohon Isham dipenjara atau didendan kerana menghina mahkamah susulan kenyataannya dalam satu temu bual bertajuk “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?”.

Rakaman itu didakwa telah menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu disiarkan di laman Facebook “The Malaya Post” pada 30 September 2023.

Menurut afidavit yang difailkan, Isham telah mengeluarkan beberapa kenyataan mempersoalkan proses perbicaraan dan rayuan membabitkan Najib dalam kes SRC International dan 1MDB. – MalaysiaGazette