Dr. Zulkifle Ali Al-hafiz

KUANTAN – Pahang melaksanakan 20 rakaat solat sunat Terawih di 700 masjid dan hampir 2,000 surau di negeri ini seperti kebiasaan pada bulan Ramadan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr Zulkifle Ali Al-hafiz berkata, penetapan dua puluh rakaan dan solat sunat witir dua salam itu selaras pemakluman yang dibuat oleh Jabatan Mufti Pahang.

”Melaksanakan kesempurnaan solat Terawih adalah afdhal didirikan 20 rakaat sebagaimana dijelaskan oleh Imam Syafiee iaitu ‘bahawa saya amat suka jika didirikan 20 rakaat solat tarawih’.

”Inilah juga yang dikatakan oleh Saidina Umar Ibn al-Khattab yang mengatakan bahawa penduduk Mekah mendirikannya 20 rakaat serta witir menurut Kitab al- Hawi al-Kabir Syarah Kitab Mukhtasar al-Muzanni Jilid Ke-2 muka surat 290,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut Zilkifle, meskipun diselaraskan 20 rakaat untuk solat sunat Terawih namun makmum boleh memilih sama ada mahu menunaikan lapan atau 20 rakaat, mengikut kemampuan masing-masing.

Selain itu, 30 buah masjid di daerah dan sebuah masjid negeri dibuka 24 jam untuk memberi ruang kepada para jemaah untuk beribadat selain menyediakan juadah berbuka puasa dan moreh selepas Terawih.

Sahur pula disediakan pada malam ke-15 dan 20 sehingga akhir Ramadan kepada jemaah masjid daerah di Pahang. – MalaysiaGazette