Aminul Izmeer (Tengah) menunjukkan gambar lelaki yang bersembunyi di bonet sebua kereta ketika cuba menyeludup masuk ke Malaysia pada Disember 2023.

ISKANDAR PUTERI – Cubaan seorang lelaki warga Singapura untuk menyeludup masuk ke Malaysia gagal apabila ditahan di laluan pemeriksaan masuk di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Lelaki itu ditahan selepas penguat kuasa Kastam menyedari  bahagian but belakang kereta berkenaan melendut.

Kejadian berlaku pada 13 Disember tahun lalu.

Pengarah Kastam Negeri itu, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, ketika kejadian, kereta Produa Myvi yang dipandu dan dinaiki dua wanita tempatan berusia 20-an dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika pemeriksaan kenderaan itu tiada penumpang di bahagian belakang tetapi ia kelihatan melendut.

“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati lelaki itu bersembunyi di bahagian but belakang kereta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hasil soal siasat mendapati lelaki itu mahu datang ke Malaysia untuk bekerja tetapi tiada pasport.

Aminul Izmeer berkata, kedua-dua wanita adalah kenalan lelaki tersebut menerima bayaran S$3,000 bagi membawanya masuk ke Malaysia.

“Ini adalah tindakan pertama kali lelaki itu kerana tidak mempunyai pasport disebabkan masalah perundangan di negaranya,” ujar Aminul Izmeer.

Ketiga-tiga suspek sudah dituduh di Mahkamah Johor Bahru.

Dua wanita bertindak sebagai pengangkut migran dituduh di bawah seksyen 26J Akta Atipsom 2007.

Manakala lelaki warga Singapura terbabit didakwa dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan telah selesai menjalani hukuman penjara tiga bulan.- MalaysiaGazette