Phua Cheong Ong, 49, didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar 83.4 kilogram (kg) dadah yang ditemui di dalam dua buah kereta, Februari lalu.

MELAKA – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar 83.4 kilogram (kg) dadah yang ditemui di dalam dua buah kereta, Februari lalu.

Tertuduh, Phua Cheong Ong, 49, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan sejurus tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabila Nizam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 20,793 gram yang disenaraikan di Bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 di dalam sebuah kereta jenis Toyota Camry.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 62,610 gram di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios.

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan KPKS 5, Kompleks Perniagaan Al-Azim, Kota Syahbandar, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 3.20 petang 21 Februari lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat dengan sebatan tidak kurang 12 sebatan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri, manakala tertuduh diwakili Peguam Dzvuriyah Velayit Hussein.

Kes akan disebut semula 25 April ini.

Pada 23 Februari lalu, media melaporkan polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa bernilai lebih RM4 juta dalam serbuan di Melaka, Johor dan Pahang.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, (JSJN) Bukit Aman itu turut menahan enam lelaki termasuk dalangnya berusia 60 tahun di Pahang dan lima lagi berusia 40 hingga 74 tahun.

Dalam serbuan itu, polis merampas dadah disyaki syabu dan pil ekstasi yang peroleh dari negara jiran sebelum diseludup ke Dumai, Indonesia.

Modus operandi sindiket yang aktif sejak Jun lalu itu ialah membawa dadah melalui jalan darat dari utara menggunakan kenderaan persendirian sehingga tiba di Pantai Klebang sebelum dadah yang boleh digunakan 365,000 pengagih itu diseludup keluar melalui Dumai, Indonesia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast