Duta Besar Republik Arab Mesir ke Malaysia, TYT Ragai Tawfik Said Nasr bercakap pada sidang media di Oval Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Mesir kini menampung 42,000 mangsa yang cedera akibat pengeboman Israel di Gaza.

Menurut Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr, semua mangsa dirawat di 16 hospital melalui perkhidmatan oleh 35,000 doktor negara itu.

“Semasa kita bercakap, 3,000 rakyat Palestin yang cedera parah masih menerima rawatan di hospital Mesir,” kata Ragai dalam sidang media hari ini.

Mesir menurut beliau, telah menubuhkan sebuah hospital lapangan di Rafah dan dua pusat perlindungan di Rafah dan Khan Younis dan sedang berusaha untuk menubuhkan hospital ketiga di Khan Younis.

Menjelaskan keadaan di Gaza, beliau berkata, 75 peratus daripada jumlah bantuan kemanusiaan yang dihantar ke Gaza datang daripada Kerajaan Mesir.

Ia melibatkan jumlah bantuan 145,000 tan termasuk bahan api, makanan dan air, bekalan perubatan dan peralatan serta pakaian.

Katanya, 15,000 trak Mesir melepasi Rafah menyeberang ke sebelah Palestin mengikut statistik kerajaan yang dikeluarkan pada 6 Mac.

Duta Besar Republik Arab Mesir ke Malaysia, TYT Ragai Tawfik Said Nasr bercakap pada sidang media di Oval Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 MAC 2024.

Selain itu Mesir berjaya memindahkan kira-kira 47,000 warga asing yang menetap di Gaza termasuk warga Malaysia Nurul Ain Harun dan keluarganya yang terperangkap di Gaza.

Sementara itu ketika ditanya mengapa Mesir tidak bertindak balas terhadap Israel dan menghantar tentera ke Gaza, Ragai berkata, negaranya terikat dengan Israel melalui Perjanjian Oslo.

Katanya, Mesir juga terpaksa bertindak mengekang penduduk Gaza keluar dari wilayah itu kerana ia menepati matlamat Israel untuk menguasai kawasan terakhir yang dikawal sepenuhnya oleh Palestin sebelum ini.

Beliau menjelaskan, Mesir telah berusaha di semua peringkat untuk membendung krisis dan seterusnya mencapai gencatan senjata secara kekal dan bukannya enam minggu seperti yang diuar-uarkan media.

“Apa yang ada dalam perancangan kami adalah gencatan senjata kekal. Inilah matlamat kami. Sebab itu masih ada perbincangan dengan pihak yang berkaitan. (Gencatan senjata) Tak terhad kepada beberapa bulan. Tidak,” tegasnya.

Ditanya mengenai hasrat Benjamin Netanyahu untuk tentera negara itu berada di Gaza selama 10 tahun lagi, Ragai berkata, Perdana Menteri Israel itu boleh mengeluarkan sebarang pendapat namun ia akan ditentukan oleh masyarakat antarabangsa. – MalaysiaGazette