Logo Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menasihati umat Islam di negara ini tidak terpengaruh dengan ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace yang bertentangan dengan syariat.

Menurut Timbalan Yang Dipertua YADIM, Prof Madya Dr Adi Anuar Azmin, pihaknya memandang berat penularan video melalui platfom TikTok dengan nama akaun Ahmadi yang mempunyai pengikut lebih 30,000  yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai penerangan kepada pengguna.

“Umat Islam di Malaysia dinasihati tidak mudah terpengaruh dengan ajaran Ahmadi ini yang sengaja menghasut masyarakat untuk mempercayai kononnya Imam Mahdi telah menjelma bersama-sama dengan mereka.

“Ini bukanlah kali pertama gerakan sebegini wujud di negara ini mahu pun di dunia secara umumnya.

“Jelas segala bentuk penyelewengan akidah seperti ini tidak akan berkekalan lama kerana sandaran mereka hanya mengikut pada hawa nafsu semata-mata.

“YADIM bersetuju dan menyokong saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Naim Bin Haji Mokhtar agar Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi agama yang lain untuk segera mengekang dan membendung ajaran ini.

“YADIM melalui Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) akan menggerakkan sepenuh usaha melalui NGO-NGO Islam bersama-sama platfom ini untuk membuat laporan polis dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu pihaknya juga akan menganjurkan program pendidikan dan pemahaman akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenar kepada masyarakat bersama semua pihak bagi memastikan akidah umat Islam tidak tergugat sama sekali.

“MAIM ialah sebuah platform yang menggabungkan barisan NGO-NGO Islam di Malaysia mampu membantu kerajaan dan agensi sedia ada dalam usaha menangkis fahaman ini terus menular dalam masyarakat Malaysia. Islam menuntut umatnya bersederhana dalam segala aspek kehidupan.

“Kita menyeru umat Islam ke arah sikap pelampau jelas merupakan pemahaman yang menyeleweng dan ajaran sesat yang harus dibendung lebih awal.

“Kita juga berharap YADIM pihak MCMC dan PDRM untuk memastikan penularan apa-apa bentuk bahan berkaitan fahaman Ahmadi ini dapat ditangani dan dibendung dengan lebih awal,” ujarnya.

Pada 21 Julai lalu, Mohd Na’im dilaporkan berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menempatkan seorang kader di MCMC bagi membantu suruhanjaya itu memantau sebarang bentuk hantaran berkaitan ajaran sesat di media sosial berikutan isu seperti penularan The Ahmadi. – MalaysiaGazette