Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR- Sebanyak 450 lokasi telah ditetapkan untuk Program Jualan Rahmah (PJR) Ramadan di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata program tersebut akan memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan asas lebih murah berbanding pasaran dengan potongan harga sehingga 30 peratus.

“Dalam PJR Ramadan ini, kita masih mengamalkan konsep barang yang ditawarkan pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga jualan asal.

“Selain itu, perlaksanaan program ini turut menumpukan jualan barang basah keperluan untuk memasak dan juga barang yang diperlukan untuk bulan Ramadan dan seterusnya menghadapi hari raya seperti tepung, daging, ikan dan ayam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan PJR Madani di Padang Kawad Pasukan Gerakan Am (PGA) Kinarut.

Katanya, sekurang-kurangnya sebanyak dua siri PJR Ramadan akan diadakan di setiap Parlimen.

“Sasaran kita juga dalam satu Parlimen sekurang-kurangnya dua siri PJR Ramadan dan di Sabah ada 25 Parlimen,” katanya lagi.

Terdahulu Armizan berkata, program tersebut digerakkan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuklah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Jadi dengan kerjasama ini kita dapat membantu khususnya golongan sasar mendapatkan barangan kering dan basah serta barang untuk persiapan membuat kuih dan sebagainya,” tambahnya.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast