Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad.

GEORGE TOWN – Dua anggota polis yang ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selepas dipercayai berkhalwat di sebuah hotel di Tanjong Tokong di sini, semalam ditukarkan serta-merta.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, anggota yang masing-masing berpangkat koperal dan sarjan mejar itu bertugas Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

“Kita telah keluarkan arahan untuk menukarkan dua anggota pangkat rendah itu serta merta selepas menerima laporan berhubung kejadian.

“Tindakan tatatertib juga diambil terhadap mereka berdua oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

 

Isteri ditangkap khalwat selepas suami lapor JHEAIPP

MalaysiaGazette semalam melaporkan seorang wanita yang masih berstatus isteri orang ditahan selepas disyaki berkhalwat dengan rakan sekerjanya di sebuah hotel di Tanjong Tokong di sini.

Penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menyerbu hotel berkenaan pada jam 1.30 pagi selepas mendapat aduan daripada suami kepada wanita berkenaan.

Penolong Pengarah Kanan, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Alamin Majok berkata, hasil serbuan membawa kepada tangkapan seorang lelaki dan wanita yang masing-masing berusia 37 tahun.

“Semakan mendapati lelaki dan wanita itu bersekedudukan tanpa mempunyai sebarang ikatan pernikahan yang sah.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 iaitu berkhalwat,” katanya. – MalaysiaGazette