Pelatih melakukan perbarisan pada Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Lawatan Kerja ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Tun Abdul Razak (DTAR), Kem Perdana Sungai Besi. Foto MOHD ADZLAN, 10 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan sepenuhnya berhubung kes pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang didakwa membelasah pegawai bawahan sehingga cedera.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, laporan polis sudah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.

“(Kes itu) ada laporan polis, biarlah polis buat kerjanya. Itu tentunya akan berjalan serentak tetapi kita beri keutamaan kepada polis (buat siasatan penuh),” katanya selepas diminta mengulas perkembangan terbaharu dalam kes tersebut.

Terdahulu, beliau  merasmikan Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Padang Kawad Maktab Tentera Diraja (MTD), Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Pada Jumaat, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata memaklumkan pegawai kanan TDM itu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu, pada Jumaat bagi diambil keterangan.

Katanya, pelaku itu dipanggil selepas polis menerima satu laporan polis dibuat terhadap pegawai tentera terbabit pada jam 1.27 pagi, 4 Mac lalu di Balai Polis Bau.

Khamis lalu, TDM memaklumkan sudah menubuhkan Lembaga Siasatan peringkat dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh seorang pegawai kanan di salah satu Briged Infantri Malaysia di Sarawak.

Lembaga Siasatan itu akan menilai secara profesional dan terperinci dakwaan kekasaran yang dilakukan pegawai kanan itu.

Jika terbukti terdapat salah laku dan guna kuasa seperti yang di dakwa, TDM akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pegawai kanan tentera itu mengikut peraturan dan arahan Tentera Darat sedia ada.

Dalam kejadian pada 1 Mac lalu, seorang pegawai TDM yang mendakwa ditampar di bahagian kiri muka dan ditendang di bahagian perut oleh pegawai kanan terbabit sehingga menyebabkan pengadu mengalami kecederaan pada tisu lembut di atas mata dan ‘blunt trauma’.

Kejadian berkenaan berlaku ketika sekumpulan pegawai sedang menjalani latihan peringkat formasi.

Dalam perkembangan sama, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan turut mengesahkan pegawai kanan berkenaan kini dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan TDM melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh.- MalaysiaGazette

Dibelasah pegawai kanan, Tentera Darat tubuh lembaga siasatan