Anggota bomba sedang mengawal api sedang marak di premis Mydin di Manjoi, Perak lewat petang tadi.

IPOH – Suasana pasar raya Mydin di Manjoi di sini bertukar kecoh apabila pengunjung dan kakitangan serta peniaga premis berkenaan terpaksa mengosongkan bangunan tersebut dalam keadaan cemas.

Ia selepas berlakunya kebakaran di tingkat dua premis perniagaan berkenaan sekitar jam 6.45 petang tadi.

Difahamkan kejadian itu disedari orang ramai selepas bekalan elektrik terputus diikuti bunyi loceng penggera kebakaran.

Menurut maklumat awal kira-kira 40 pekerja dengan lebih 200 pengunjung berada di dalam pasar raya Mydin Manjoi berkenaan bagi membuat persiapan akhir persekolahan dan menyambut Ramadan.

Kesemua pekerja dan pengunjung sempat mengosongkan premis sebelum api mula marak di tingkat dua bangunan yang menempatkan seksyen pakaian, barangan elektrik dan keperluan harian.

Buat masa sekarang, kerja-kerja pemadaman sedang dilakukan. Maklumat lanjut berhubung kejadian itu akan dimaklumkan kemudian. – MalaysiaGazette