Jawatankuasa melihat anak bulan Wilayah Persekutuan melakukan cerapan anak bulan pada Majlis Rasmi Cerapan Hilal Ramadan 1445 Hijrah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Menara Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Selasa ini, 12 Mac 2024.

Pengumuman itu dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), sebentar tadi.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Malaysia mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Selasa, 12 hb Mac 2024,” katanya.

Proses melakukan cerapan anak bulan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Menara Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 MAC 2024.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi satu kenyataan telah menetapkan 10 Mac bersamaan 29 Syaaban 1445H untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia.

Proses melihat anak bulan Ramadan berlangsung di 29 lokasi di seluruh negara hari ini. – MalaysiaGazette