MARAN – Generasi baharu Felda berpeluang membina rumah di atas tanah yang diberi hak milik menerusi Skim Tanah Rakyat (STR).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdi Wan Ismail berkata, skim tersebut dilaksanakan di 18 kawasan di Mempaga, Jengka dan Kuantan.

“Wilayah Mempaga melibatkan 10 kawasan, Jengka dan Kuantan masing-masing empat kawasan,” katanya ketika berucapa pada Majlis Pecah Tanah Projek STR Felda Pahang di Jengka 14, hari ini.

Menurut Wan Rosdy, Felda melalui kerjasama FIC Supply akan menyediakan reka bentuk rumah untuk dibina dan pembiayaan melalui bank akan disediakan.

Tambah beliau FIC Supply diberi keistimewaan daripada Agrobank untuk menguruskan kelulusan pinjaman bagi pemohon yang tidak mempunyai penyata gaji namun mempunyai pekerjaan.

Katanya, isu keperluan perumahan untuk generasi baharu Felda sudah lama dibangkitkan dan kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah awal untuk menyelesaikannya.

Wan Rosdy berkata, antara usaha yang diambil ialah  memperuntukkan RM200 juta bagi menyiapkan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai di negeri ini.

Menerusi projek itu, Felda telah menyerahkan 1,840 buah rumah di 10 tapak pembinaan untuk disambung semula pembinaan, ujarnya.

Jelas beliau, projek tersebut dijenamakan semula sebagai Skim Rumah Pahang yang  mana pemilihan pembeli yang layak diuruskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) melalui sistem e-Perumahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast