Arthur Joseph Kurup.

KENINGAU – Sebanyak 5,608 Jualan Agro Madani anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)yang diadakan seluruh negara tahun lalu memperoleh hasil sebanyak RM93.7 juta.

Penganjuran itu telah mencatatkan jumlah pengunjung sebanyak 2.9 juta dan penglibatan seramai 74,800 usahawan sepanjang program berlangsung.

Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah dilaporkan telah menganjurkan 367 Jualan Agro Madani yang membabitkan 3,990 usahawan dan jualan itu mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak RM5.2 juta.

Setakat Mac 2023, Program Jualan Agro Madani yang dilaksanakan di 1,227 lokasi di seluruh negara, mencatatkan penglibatan 16,242 usahawan itu telah membawa nilai penjimatan kira-kira RM7.87 juta kepada pelanggan.

“KPKM melalui jabatan serta agensi akan terus memberikan komitmen untuk merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu kos sara hidup rakyat.

Kini, kita akan terus mengorak langkah untuk penganjuran sulung jualan Agro MADANI Mega di pedalaman Sabah,” katanya dalam kenyataan sempena Program Jualan Agro MADANI Mega yang dirasmikan beliau di Sook, semalam.

Menurut Arthur, usaha ini selaras dengan peranan kementerian selaku penggerak utama dalam memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan tersedia untuk rakyat.

Beliau juga akan memastikan masyarakat di kawasan pedalaman Sabah tidak ketinggalan daripada menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh KPKM.

Pelaksanaan Karnival Jualan Agro Madani Mega Sook yang julung kali dilaksanakan dalam skala besar itu telah menarik penyertaan lebih 100 penjual serta menawarkan pelbagai produk agro makanan keluaran tempatan.

“Pihak kementerian juga menjangka program itu mampu merekodkan sebanyak RM250,000 dan menarik 5,000 pengunjung sepanjang penganjuran dua hari yang berakhir hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette