Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) menafikan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari bahawa Bersatu Se­langor dikuasai “kumpulan kartel” dipimpin individu “baharu sehari dua”.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dakwaan ADUN itu hanya sebagai alasan selepas Abdul Rashid melakukan kesilapan besar kepada parti.

Jelas beliau, Bersatu telah bergerak atas dasar perlembagaan parti malah Abdul Rashid sendiri adalah bekas Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor.

“Tiada kartel dia kata kartel, parti ini bergerak atas dasar perlembagaan, ada peraturan, Datuk Rashid jadi timbalan pengerusi badan pimpinan negeri, kalau kartel..: berkartel dengan dialah.

“Mana ada kartel, jangan cari sebab apabila lakukan kesilapan besar, malah tuduh parti buat itu, satu perbuatan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan cadangan pindaan perlembagaan BERSATU ke ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Abdul bahawa Bersatu Se­langor dikuasai “kumpulan kartel” dipimpin individu “baru sehari dua” menyertai parti itu sebagai punca beliau menyokong Menteri Besar, Datuk Ami­rudin Shari.

Beliau menolak dakwaan merajuk kerana dilucutkan jawatan­ ketua Bersatu negeri, sebaliknya merasakan diri tidak diperlukan parti selepas sembilan tahun bekerja keras me­nubuhkan Bersatu Selangor.

Selaku ketua Bersatu Selangor, beliau sebelum ini dipertanggungjawabkan mengenal pasti calon parti untuk bertanding pada PRN tahun lalu.

“Tetapi, lebih separuh nama ketua bahagian yang saya cadangkan itu dihumban keluar kerana ada kartel mahu membawa orang masing-ma­sing sebagai calon Bersatu.
“Orang-orang yang menggantikan pula adalah calon ‘bidang terjun’ yang baru sehari dua sertai parti. Tetapi, pada PRN hanya menang majoriti puluh-puluh sahaja, padahal jika ketua bahagian bertanding, boleh menang majoriti lebih besar,” katanya.

Rashid pada 6 Mac lalu mengumumkan beliau menyokong pentadbiran Amirudin tanpa paksaan dan yakin tindakan itu akan memanfaatkan penduduk Selat Klang menerusi kerajaan stabil. – MalaysiaGazette