Steven Sim (tengah) merasmikan kempen tolak gula: inisiatif Perkeso cegah penyakit tidak berjangkit dalam kalangan pekerja di Jabil Circuit Sdn. Bhd. (Plant 1) Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Jumlah pekerja yang menghidap penyakit diabetes dan buah pinggang meningkat mendadak sekali gus berisiko menggugat produktiviti negara.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menegaskan, jumlah itu diperoleh berdasarkan saringan percuma yang dilakukan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Saringan ke atas 175,526 pekerja berusia 40 tahun ke atas pada tahun lalu sehingga Februari lepas mendapati sebanyak 59.59 peratus daripada mereka mempunyai masalah kolestrol tinggi, berat badan berlebihan (23.52 peratus) dan menghidap darah tinggi (20.45 peratus).

Steven Sim.

“Pada tahun lalu, kira-kira 20 peratus pencarum disahkan menghidap diabetes berbanding hanya sembilan peratus pada 2013.

“Manakala perbelanjaan dialisis pula, bertambah antara RM20 juta hingga RM30 juta dalam tempoh dua tahun kebelakangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Steven Sim, dalam aspek ini, keselamatan dan kesihatan perlu dititik berat kerana tenaga kerja yang sihat, selamat dan selesa antara penggerak dan menjana ekonomi negara.

Mengulas lanjut Steven  berkata, Perkeso setakat ini mempunyai empat pusat dialisis dan menyasarkan membuka sebuah pusat tersebut di setiap negeri dalam tempoh dua tahun ini bagi menawarkan rawatan percuma kepada pencarum.

Terdahulu, beliau merasmikan kempen tolak gula: inisiatif Perkeso cegah penyakit tidak berjangkit dalam kalangan pekerja di Jabil Circuit Sdn. Bhd. (Plant 1) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas mengenai kempen tolak gula, Steven  berkata, ia akan dilaksanakan secara meluas dengan sokongan majikan menerusi langkah awal yang dicadangkan iaitu penyediaan minuman tanpa gula di tempat kerja.

“Ini merupakan usaha signifikan kementerian bagi memerangi penyakit tidak berjangkit terutamanya kencing manis dalam kalangan pekerja.

“Perkeso turut menyasarkan bagi melakukan saringan kesihatan percuma kepada 100,000 pencarum berusia 40 tahun ke atas sepanjang tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette