Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat

JOHOR BAHRU – Seorang juruwang wanita ditumbuk pelanggan berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana terpaksa menunggu lama bagi membatalkan pembelian barang yang dibelinya di sebuah pasar raya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata,, mangsa 25 tahun telah pun membuat laporan pada 9 Mac yang menyatakan telah dikasari hingga menimbulkan kesakitan dan bengkak di bawah bahagian mata kiri akibat ditumbuk suspek.

“Dalam pada itu, suspek juga telah membuat laporan pada 10 Mac untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Raub berkata, pihaknya menerima rakaman video yang tular memaparkan pertelingkahan antara kedua-dua wanita berkenaan pada jam 11.19 pagi tadi.

Video tersebut turut memaparkan seorang wanita memukul muka sebelah kiri mangsa dengan menggunakan tangan dan kemudian meninggalkan premis itu.

Berdasarkan maklumat dikongsikan mangsa, kejadian berlaku semasa membuat pembayaran yang mana pelanggan mahu memulangkan barang yang dibelinya namun dia meminta pelanggan terbabit menunggu kerana pembelian itu sudah dimasukan ke dalam sistem.

Menurut Raub, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette