Kejayaan Institut Jantung Negara (IJN) melakukan pemindahan jantung melibatkan dua orang remaja membuktikan bahawa masih ada peluang untuk pesakit jantung. - Gambar ihsan IJN.

KUALA LUMPUR – Kejayaan Institut Jantung Negara (IJN) melakukan pemindahan jantung melibatkan dua orang remaja baru-baru ini memberi harapan kepada mereka yang menghidap penyakit mengancam nyawa itu.

Kedua-dua pesakit, Muhammad Farhan Irfan Mohd Razif, 19, dan Daniella Kang, 18, menghidap non-ischaemic dilated cardiomyopathy iaitu penyakit otot jantung yang meregang dan menipiskan ruang jantung.

Kejayaan Institut Jantung Negara (IJN) melakukan pemindahan jantung melibatkan dua orang remaja membuktikan bahawa masih ada peluang untuk pesakit jantung. – Gambar ihsan IJN.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, kejayaan itu amat bermakna bagi mereka selepas ia terhenti akibat kekurangan penderma organ.

“Kejayaan ini juga membuktikan kekuatan komuniti kita. Kami berterima kasih kepada pelbagai pihak yang telah membantu kami mengubah kehidupan pesakit muda ini termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Pusat Sumber Transplan Nasional, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi IJN, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berterima kasih kepada KKM atas sokongan mereka terhadap Program Jantung, Paru-paru dan Jantung Mekanikal IJN.

“Kami berharap kerjasama ini terus membantu kami menawarkan peluang menyelamatkan nyawa kepada lebih ramai pesakit, dan sangat menyambut baik kerjasama potensi perkongsian dengan sektor korporat untuk tujuan ini juga,” katanya.

IJN memulakan Program Jantung, Pemindahan Paru-Paru dan Jantung Mekanikal pada tahun 1995 dengan sokongan KKM.

Program itu menyaksikan pencapaian pertamanya pada tahun 1997 dengan pakar IJN melakukan pemindahan jantung pertama di Malaysia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast