MARAN – Setiap insan mempunyai pengalaman menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan ketika zaman kecil dan begitulah juga Menteri Besar Pahang.
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atau lebih mesra disapa Tok Wan menasihati agar anak-anak yang masih kecil mencuba untuk belajar berpuasa.
Beliau sempat mengenang kembali ketika zaman kanak-kanaknya ketika berusia empat hingga enam tahun yang berpuasa yang yuk.
“Nostalgia ketika kanak-kanak dulu zaman puasa yang yuk, saya start puasa betul semasa umur tujuh tahun. Puasa yang yuk semasa umur empat, lima dan enam tahun, Puasa yang yuk itu pagi-pagi buka periuk,” katanya bergurau.
Puasa separuh hari itu juga merupakan latihan berpuasa bagi anak-anak kecil kerana golongan itu masih belum diwajibkan berpuasa.
Jelas Wan Rosdy, buka periuk itu sekadar istilah namun baginya pengalaman tersebut merupakan nostagia ketika berpuasa semasa zaman kanak-kanak.
“Paling tak boleh lupa dulu zaman kanak-kanak mengaku puasa tapi makan, orang tanya puasa tak, jawab puasa. Masa kecil dulu saya suka mandi sungai, pandai berenang dan mandi di Sungai Jelai ketika bulan Ramadan. Masa itu Sungai Jelai airnya jernih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dalam video bersama Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin semalam.
Malah kata Wan Rosdy, antara perkara yang tidak dapat dilupakan ialah mengaku berpuasa kepada arwah ibunya walau pun dia ponteng.
“Nak act sikit cakap puasa. Kalau kata tak puasa marah dek mak lah, tapi itu masa enam tahun ke bawah. Saya start puasa darjah 1, tak yang yuk dah,” tambahnya.
Wan Rosdy turut menitip nasihat dan semangat kepada anak-anak yang baharu belajar menunaikan rukun Islam ketiga itu.
“Kepada anak-anak yang saya kasihi, sayangi, esok (hari ini) kita berpuasa. Jarang kita dapat berpuasa bersama. Gunakan bulan puasa ini untuk beribadah, jangan lah puasa yang yuk.
“Selamat menjalani ibadah puasa dan terawih. Jangan ikut macam Tok Wan dulu. Tapi Tok Wan rasa ramai kawan-kawan macam Tok Wan masa kecil-kecil dulu,” katanya seloroh. – MalaysiaGazette