GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bertindak segera menangani masalah yang dihadapi pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, isu yang dihadapi pesawah kawasan tersebut perlu diberi perhatian bagi meningkatkan hasil pendapatan dan pengeluaran beras negara.
Jelas beliau, penyusutan tanah sawah akibat pelaksanaan projek pembangunan dan lain-lain masalah seperti ancaman banjir, kemarau, serangan serangga perosak termasuk tanah sawah jerlus turut menyumbang kepada kekurangan hasil padi di KADA.
“Walaupun hasil padi di kawasan itu melepasi purata hasil nasional 4.1 tan metrik sehektar, namun KADA masih ketinggalan berbanding hasil negeri Selangor 4.32 tan metrik, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) 4.24 tan metrik dan Pulau Pinang 5.05 tan metrik sehektar.
“Masalah sistem pengairan tidak sempurna dan gagal berfungsi dengan berkesan menyebabkan beberapa kawasan sawah di KADA terancam dan banyak pokok padi terencat pembesarannya musnah akibat kemarau serta banjir.
“Pada Mei tahun lalu, seluas 7,800 hektar tanaman padi di kawasan ini terjejas berikutan cuaca panas yang berlaku di Kelantan dan pada Disember tahun sama, KADA turut mengalami kerugian sebanyak RM17juta akibat kemusnahan pokok padi ditenggelami air ketika banjir,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Mohideen, masalah sistem saliran juga seluas 1,000 hektar tanah sawah menjadi jerlus dan KADA kehilangan hasil padi sebanyak 4,200 tan metrik pada tahun 2022.
“Kejadian itu amat membimbangkan CAP dan jika tidak ditangani segera, lebih luas tanah sawah di jelapang padi tidak dapat diusahakan dan terbiar.
“Justeru, bagi menyelamatkan masa depan sumber pendapatan dan kehidupan seramai 7,648 pesawah serta mengekalkan 25,149 hektar kawasan sawah di KADA, CAP berharap KPKM mengambil tindakan segera ke atas punca berlakunya masalah itu.
“Jika masalah itu berterusan, bukan saja pesawah KADA akan mengalami kesempitan hidup malah bekalan makanan kepada rakyat dan sektor pertanian negara juga akan terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette