Datuk Muhamad Zaki Harun (kiri) menunjukkan laci yang diubahsuai menjadi tempat penyimpanan dua pucuk pistol yang digunakan untuk kegiatan jenayah kekerasan di sebuah kampung di Jalan Long Yunus, Kampung Tanjong Chat, Kota Bharu dalam sidang media IPK Kelanta

KOTA BHARU – Seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana melakukan jenayah kekerasan dan dadah, dengan licik mengubah suai sebuah meja laci kayu supaya hanya boleh dibuka dengan kad akses untuk menyembunyikan dua pucuk pistol.

Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah D9 di rumahnya di Jalan Long Yunus, Kampung Tanjung Chat di sini, 11 malam tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pemeriksaan di rumah suspek turut menemukan 54 butir peluru hidup dan sebuah beg yang mengandungi 1,200 pil kuda serta 550 biji pil erimin 5.

“Dari mana dua pucuk pistol suspek peroleh kami akan siasat termasuklah dadah yang ditemukan dalam rumahnya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Beliau berkata hasil saringan air kencing ke atas lelaki yang mempunyai dua rekod jenayah lampau itu disahkan negatif.

Suspek direman enam hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. – BERNAMA