Hasil kebun sawit milik Nit Mat Adam di Felda Chini Timur, Pekan, Pahang. foto arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan pada harga semasa dengan kecenderungan meningkat minggu depan.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata, paras stok yang rendah serta kadar pengeluaran yang lembap berbanding jangkaan boleh menyokong sentimen yang kukuh.

“Oleh itu, kami menjangkakan harga di antara RM4,150 satu tan dengan RM4,300 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Peniaga Kanan Interband Group of Companies Jim Teh berpendapat aktiviti pengambilan untung juga mungkin berlaku minggu depan, memandangkan harga MSM mengalami aliran meningkat pada dua hingga tiga minggu lepas.

“Bagi simpanan stok, terdapat kekurangan stok minyak sawit dalam pasaran di Malaysia dan Indonesia jadi, akan berlaku tekanan ke atasnya,” katanya.

Beliau menjangkakan harga MSM mungkin berada di antara RM3,700 satu tan dengan RM3, 900 satu tan minggu depan.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, niaga hadapan MSM didagangkan tinggi kebanyakannya dalam keadaan simpanan stok MSM yang rendah di negara ini sekali gus mengakibatkan kekangan bekalan di pasaran.

Prestasi itu turut menjejaki harga minyak kacang soya yang lebih kukuh di Lembaga Dagangan Chicago dan Bursa Komoditi Dalian, katanya.

Pada asas mingguan, kontrak bulan semasa Mac 2024 naik RM146 kepada RM4,327 satu tan, April 2024 meningkat RM163 kepada RM4,342 satu tan, dan Mei 2024 menambah RM193 kepada RM4,287 satu tan.

Jun 2024 menokok RM238 kepada RM4,220 satu tan, Julai 2024 meningkat RM255 kepada RM4,125 satu tan manakala Ogos 2024 melonjak RM239 kepada RM4,037 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 423,388 lot daripada 305,220 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 291,546 kontrak daripada 276,573 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan berada pada RM4,360 satu tan, menambah RM140 daripada RM4,220 satu tan minggu lepas. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast