SHAH ALAM – Mayat seorang lelaki ditemui lemas di Tasik Kota Kemuning, Seksyen 31, di sini, jam 8.20 pagi tadi selepas kira-kira lapan jam pencarian.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mayat lelaki itu dijumpai dalam jarak 5 meter dari tempat kejadian.
“Pihak polis menerima maklumat berkenaan kejadian ini kira-kira jam 12.25 tengah malam daripada orang awam memaklumkan ada seorang lelaki terjun ke dalam Tasik Kota Kemuning, Seksyen 31, Shah Alam.
“Usaha mencari dan menyelamat telah dijalankan oleh pihak Bomba dari Balai Bomba Seksyen 15 dengan kekuatan seramai 11 anggota,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati lelaki itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri disyaki warganegara asing kerana tidak mempunyai suntikan BCG di bahu sebelah kiri.
“Si mati dipercayai di bawah pengaruh alkohol kerana terdapat beberapa botol arak telah ditemui di tempat kejadian,” katanya.
Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Shah Alam untuk dijalankan post-mortem jam 12 tengah hari tadi bagi mengenal pasti punca kematian.
“Siasatan dijalankan di bawah kes mati mengejut.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Shahrul Bakhri di talian 012-3630512,” katanya. – MalaysiaGazette