Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima sebanyak 36 laporan berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart di Sunway, Selangor yang tular di media sosial baru-baru ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memberitahu, siasatan  sudah bermula dan bertumpu kepada vendor atau pengedar produk berkenaan ke pasaran.

Menurut beliau, jika disabitkan kesalahan, denda boleh dikenakan sebanyak RM20,000 atau penjara tidak kurang tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“PDRM terima 36 laporan daripada pihak yang tidak berpuas hati terhadap penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart di Sunway, Selangor.

“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita sentiasa memantau supaya tidak berlaku lagi perkara (penjualan stoking) ini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Shamsual Anuar menambah, walaupun permohonan maaf sudah dibuat KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart), siasatan akan tetap diteruskan bagi menyiasat dan mendakwa pihak terbabit khususnya yang mengedar dan menjual produk berkenaan.

Jelas beliau, ini kerana isu tersebut telah menimbulkan kegusaran dan kegemparan awam.

Pada Sabtu lalu, pengurusan tertinggi KK Mart menyatakan kesal dengan insiden penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah Allah di salah sebuah cawangannya di Bandar Sunway Pyramid, Petaling Jaya yang tular di media sosial.

Pengasas dan juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr KK Chai menyifatkan insiden tersebut sebagai sesuatu yang tidak dijangka pihaknya.

Katanya, sepanjang tempoh 23 tahun mengusahakan perniagaan itu, syarikat itu tidak pernah melakukan kesilapan seumpama itu apatah lagi ia sesuatu yang sensitif . – MalaysiaGazette