Nor (kiri) menyampaikan sumbangan peribadinya kepada Noreen bagi menampung kos rawatan anak bongsunya, Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idhham yang mengidap penyakit kegagalan fungsi hati sejak lahir di Taman Desa Baru, Melaka hari ini.

MELAKA – Siapa sangka walaupun bergelar asnaf, dia mampu menyumbang RM2,000 yang dikumpul sejak dua bulan lalu hasil komisyen jualan kuih mi siput dipromosinya untuk diberikan kepada insan kurang bernasib baik.

Itu kemuliaan hati ditonjolkan, pesakit mental yang juga TikTokers, Dak Nor, atau nama sebenarnya, Nor Komariah Mohd Khalid lourdes Lio, 40, dan rakannya dikenali Rayyan, 34.

Menurut Nor, dia terpanggil untuk menyalurkan sumbangan itu kepada Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idhham,18 bulan yang mengidap penyakit kegagalan fungsi hati atau Biliary Atresia (BA) sejak lahir.

“Selepas melihat sahaja video penderitaan adik Nur Khayla, Nor rasa terpanggil untuk membantunya yang memerlukan RM250,000 untuk kos pembedahan kerana dia masih kecil dan perlu teruskan hidup.

“Nor anggap sumbangan kecil ini adalah amanah Allah kerana dalam setiap rezeki kita, ada rezeki orang lain yang amat memerlukan,” katanya.

Nor berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada ibu kanak-kanak berkenaan Noreen Ismail, 35, di kediaman mentuanya di Taman Desa Baru di sini hari ini.

Penyampaian disaksikan Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Mengulas lanjut Nor berkata, walaupun berstatus asnaf, dia percaya itu bukanlah halangannya untuk memberikan sumbangan kepada insan lain yang memerlukan.

“Dulu waktu Nor susah, ramai yang bantu terutamanya YB Mohd Noor Helmy sehingga Nor dapat mencari rezeki sendiri sebab itu hari ini tiba pula giliran Nor untuk bantu orang lain.

“Ini akan menambah keberkatan rezeki yang Nor perolehi dan InsyaAllah selepas ini setiap komisyen hasil jualan produk, Nor akan kumpul untuk bantu orang lain pula,” katanya.

Noreen menunjukkan dokumen perubatan anaknya.

Sementara itu, Noreen berkata, dia terkejut apabila mengetahui Nor yang diikuti kisahnya di TikTok selepas hidupnya ‘dipulihkan’ Noor Helmy selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong.

“Memang saya tersentuh kerana dalam keadaannya pun begitu (asnaf dan pesakit mental), doa sanggup keluarkan duit sendiri untuk bantu Khayla.

“Saya bersyukur kerana tak jangka Allah hadirkan orang seperti Nor untuk bantu anak kami,” katanya menahan sebak.

Mengulas mengenai kos pembedahan yang diperlukan, juruteknik itu berkata, mereka memerlukan RM250,000 bagi kos pembedahan untuk memindahkan hatinya kepada anak bongsunya itu di Hospital Renji, China.

“Setakat ini jumlah berjaya dikumpul termasuk bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah RM72,000 dan Khayla perlu menjalani rawatan segera sebaik sahaja kos itu mencukupi.

“Doktor pakar menasihati kami melakukan pembedahan di China kerana kemungkinan kejayaannya adalah 94 peratus berbanding di Malaysia adalah 50-50 antara berjaya atau tidak,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang dan mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Noreen di talian – 016-3279252 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 569963044145, atas nama suaminya, Mohamed Khairul Idhham Khairuddin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast